Dan dalam memerhati, saya mendengar dalam diam. Mendengar caci maki sesama mereka, gurau kasar anak muda yang berdarah panas. Dari situ, saya temukan salasilah keluarga yang rosak, kenalan luar yang berpengaruh, serta bermacam unsur nurture yang menyebalkan. Yes, they are not the product of nature, but they are nurtured to be who they are today. Peperangan antara persekitaran dan semulajadi. Yang tersepit adalah mereka. Lalu siapakah yang harus saya hukum di dalam kelas? Pelajar saya, ibubapa mereka, atau takdir?
Hari ini masuk minggu keenam. Masih sama, tiada yang berubah. Yang di barisan belakang tidur, barisan tengah tidak membawa buku, barisan depan membuat bising. Yang selebihnya ponteng. Saya berdiri di depan kelas. Diam. Tangan memeluk tubuh. Erat. Saya arah semua pelajar berdiri. Ambil buku masing-masing dan ikut saya keluar kelas. Mereka terpinga dan hasilnya segerombolan mengikut saya. Ada riak hairan juga teruja di wajah mereka. Saya sudah jangka ini, benda yang tak pernah dibuat mestilah teruja walaupun takut, bukan? Macam ponteng kelas pertama kali. Sama bukan?
Great Teacher Onizuka. Kau mampu? Kehkehkeh.
Saya berhenti di tapak simen perhimpunan. Saya arahkan mereka menyerahkan buku-buku kepada saya. Dengan buku-buku di tangan saya, saya memandang satu persatu wajah mereka. Wajah yang berlagak dewasa saban hari depan guru-guru. Kalaulah mereka tahu sakit derita menjadi dewasa. Kalaulah. Cuaca begitu dingin, hujan baru saja berhenti. Saya menyuruh mereka pandang ke belakang, lihat langit. Ada pelangi samar di situ. Beberapa saat berlalu.
Saya: Apa yang kamu nampak?
Mereka: Tak nampak apa-apa. Hahah.
Saya: Orang buta pun tahu nampak apa lepas hujan. Kamu buta ke?
Mereka: Aah, teacher ni bising lah. Pelangi lah. Ingat kitorang buta? Tahulah.
Saya: Kamu nampak pelangi tu sebab saya suruh kamu lihat, betul?
Diam.
Saya: BETUL??
Mereka: Betul...
Saya: Salah! Kamu nampak pelangi tu sebab kamu memilih untuk melihatnya. Kamu boleh saja memilh untuk tidak hiraukan arahan saya, tapi kamu sendiri yang memilih untuk melihatnya tadi. Kamu yang memilih.
Mereka: Dah tu kenapanya?
Di belakang saya, adanya pentas perhimpunan bertiangkan dua bendera. Saya campakkan buku-buku mereka di situ. Campak. Berterabur. Bertimpa antara satu sama lain. Sunyi. Heh takutkah?
Saya: Kamu semua berada di kelas belakang bukan kerana kamu bodoh. Tapi kerana kamu penakut. Takut untuk bermimpi, untuk punya impian. Kamu fikir hidup kamu semua sempurna sekarang? Sempurnakah dengan ibu ayah bergaduh setiap malam, pergi sekolah lewat sebab tolong mak jual kuih, orang kutip hutang datang rumah setiap hari, ayah tak bagi wang saku sebab berjudi, abang berhenti sekolah jadi pemandu lori? Kamu rasa sempurna hidup begini? Sempurna?
Info ringkas. Teknik ini dinamakan mengeksploitasi maklumat peribadi mereka yang dikumpul daripada pemerhatian selama lima minggu. Sekian terima kasih.
Saya: Kamu mungkin fikir dah tak ada guna belajar, nasib kamu dah ditentukan sejak lahir, anak penjudi, anak pemandu lori, anak orang susah. Tapi sebenarnya kamu penakut. Takut untuk bermimpi bahawa kamu juga boleh berjaya. Takut untuk melihat mimpi sendiri. Hakikatnya setiap dari kamu ada impian sendiri. Yang membezakan kamu semua adalah siapa yang memilih untuk melihat impian mereka dan siapa yang takut untuk melihatnya. Pelangi itu nampak jauh bukan? Tapi kamu masih mampu melihatnya, kerana kamu yang memilih untuk melihatnya. Pilihan kamu. Bukan saya, bukan mak ayah kamu. Tapi kamu. Sebab hanya kamulah yang boleh ubah hidup kamu sendiri.
Saya mencapai satu demi satu buku. Saya angkat tinggi dan belek setiap mukasurat di depan mereka, supaya mereka lihat isi kandungannya. Kosong. Minggu keenam tapi buku masih kosong. Kerja sekolah yang tak pernah disentuh.
Saya: Buku ini adalah impian kamu. Orang susah seperti kamu akan mati tanpa impian. Sebab hanya itu yang kamu ada. Impilah setinggi mana pun, berlari kuat-kuat untuk dapatkan impian kamu. Tanpa impian, hidup kamu akan kosong. Seperti buku ini. Kosong, tak ada apa. Tapi jika kamu mahu bermimpi dan punya impian, kamu penuhilah setiap muka yang kosong ini dengan ilmu, sebab ilmu itu akan membawa kamu dekat dengan impian. Saya tak mampu menjelmakan impian kamu di depan mata kamu, tapi saya akan membantu kamu mendapatkan impian itu. Ini janji saya. Dan percayalah, suatu masa nanti kamu takkan mahu anak kamu punya hidup yang sama seperti kamu. Kalau kamu tak mahu anak kamu berayahkan penjudi, punya ibu bapa yang cuma bertengkar, kamu ubahlah hidup kamu. Jika kamu rasa hidup kamu derita hari ini, adakah kamu mahu anak kamu melalui yang sama?
Saya: Kelak orang akan bertanya. Ingatkah pada Sarip? Siapa Sarip? Entah. Tak ada siapa yang akan ingat kamu. Sebab kamu tak memberi kesan dalam hidup mereka. Tapi dengan impian, orang akan berkata. Mestilah ingat. Sarip yang beria-ia mahu menjadi doktor tu. Yang belajar sungguh-sungguh, rajin buat kerja sekolah, pergi kelas tambahan. Ingat, selalulah jadi tapak kaki yang akan tinggalkan ingatan baik pada hidup orang lain. Walau kamu dah mati, kamu akan hidup dalam hati mereka, bersama impian yang kamu juangkan.
Saya memandang sekilas ke arah Sarip. Sengaja saya bagi contoh namanya. Pelajar paling nakal, haruslah. Air matanya bergenang. Bagus heheh.
Saya: Sesiapa yang rasa dia ada impian dalam hati, boleh ambil buku kamu kembali di atas pentas ini. Dan penuhkanlah setiap mukasurat ini dengan impian. Biar merimbun dengan ilmu, biar tebal dengan harapan. Sesiapa yang tak mahu ada impian, kamu boleh tinggal buku kamu di sini. Saya akan simpan. Tak perlu ambil kembali. Tak perlu lagi belajar di kelas. Duduk saja dan saya akan biarkan kamu dan hidup kosong kamu. Tapi sekiranya suatu hari nanti kamu temukan impian kamu, kamu boleh pulang bila-bila masa sahaja. Beritahu saya, dan kita akan kejarkan impian itu bersama.
Saya membuat keputusan untuk tidak tinggal dan tidak melihat siapa yang mengambil buku dan siapa yang tidak. Pertama, mungkin mereka malu nak ambil kalau saya ada. Kedua, mungkin saya yang malu kalau tak ada yang ambil heheh. Saya menggalas handbag dan memegang buku rekod. Sebelum beredar, saya bagi sepotong ayat yang saya curik dari Andrea Hirata. Harap-harap mereka tak baca novel beliau, kalau tak kantoi.
Saya: Bermimpilah. Maka Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi kamu.
Pelajar perempuan sudah teresak menangis. Yang lelakinya ada yang mengalir air mata saja, ada yang bergenang saja, yang merah-merah saja pun ada. Dan ada juga yang langsung tak menangis. Cuma mencebik. Itu hardcore betul. Belum insaf rupanya. Heh saya kena usaha lebih gigih lagi nampaknya lain kali. Saya terus beredar tanpa menunggu ucap terima kasih dari mereka. Pandai-pandailah masuk kelas sendiri kehkeh.
Hari esoknya. Berdebar-debar jalan menuju 1 Fir. Kalau mereka mogok dan kelas kosong, boleh juga saya ke kantin minum-minum hahah. Gulp. Takut sebenarnya. Nanti penjaga buat demonsterasi pulak. 'Guru Bahasa Inggeris Gila Kuasa Campak Buku Pelajar Dan Bikin Mereka Menangis'. Fuh tajuk depan berita Metro mungkin. Sampai ke kelas, saya terus masuk dan dari ekor mata saya nampak ada pelajar di dalamnya. Tak berani nak tengok betul-betul takut penuh barisan depan saja. Heh semalam berapi cikgunya, hari ini membeku pulak.
Ketua kelas memberi salam. Diikuti suara makmumnya. Saya terkedu. Pertama, mereka tak pernah bagi salam. Kedua, suara makmum itu gegak gempitanya mengalahkan makmum di Masjid Besar Selangor. Apakah? Saya mendongak dari melihat buku rekod. Penuh. Tiket sold-out. Tak ada seat kosong. Eh jap ada. Seat belakang sekali ada tiga kosong. Ini kerja geng hardcore semalam. Tak mengapa, helah kedua saya akan menyusul nanti. Saya akan pastikan di hujung tahun nanti, kelas 1 Fir akan penuh. Heh cakap besar pulak teacher nih. Tampar nak?
Setelah menjawab salam dan menyuruh mereka duduk, saya berdiri di depan kelas, betul-betul di hadapan whiteboard. Saya memandang wajah mereka satu persatu. Memandang buku-buku di atas meja mereka, buku-buku yang sama yang saya campak semalam.
Saya: So these are the faces with dreams? / Jadi inilah muka-muka yang ada impian?
Sunyi. Mereka senyum.
Saya: Starting today, let's fill the empty pages of your books with dreams. / Bermula hari ini, mari penuhkan setiap helaian kosong buku kamu dengan impian.
Andai saya seorang guru.

Assalamualaikum effa.
ReplyDeleteThanks for following my blog and being there.
Selamat memburu alqadar ^^
Waalaikumussalam. Welcome. You too, semoga mendapat barakah. :)
ReplyDelete